Kada sedia Rm4juta untuk 4 projek-Berita Harian-
Kada sedia RM4j untuk empat projek
KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) memperuntukkan RM4 juta untuk melaksanakan empat program meningkatkan pendapatan membabitkan 400 peserta bagi Parlimen Bachok, Ketereh, Pasir Mas dan Tumpat.
Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata Kada sudah mengenal pasti empat projek membabitkan ternakan ikan keli untuk tujuan pembuatan sosej keli, penternakan kambing bagi pasaran daging serta baka, penanaman cendawan khusus kegunaan segar dan juga tanaman cili secara kontrak.
Katanya, bakal peserta yang berminat untuk terbabit dalam projek berkonsepkan kelompok dan terancang itu boleh mengemukakan permohonan kepada Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian (MPP) kawasan masing-masing atau Kada, sebelum akhir bulan ini.
“Empat Parlimen ini mempunyai 13 Dewan Undangan Negeri yang mana kita setuju sekurang-kurangnya satu kelompok akan dibentuk dalam satu kawasan terdiri daripada 30 hingga 40 peserta dengan peruntukkan RM300,000 hingga RM400,000 (bagi setiap kelompok).
“Kita sekarang buka (tawaran) kepada sesiapa yang berminat untuk sertai program ini, setiap peserta akan disediakan peruntukkan lebih kurang RM10,000 mengikut garis panduan ditetapkan, dan pemohon mestilah mereka yang terdaftar dalam e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya.
pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Annuar yang turut menyelia pelaksanaan projek membabitkan semua kelompok itu nanti akan memastikan setiap perkembangan dilaporkan secara bertulis serta bergambar setiap dua minggu dan dilaporkan ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Dalam Perkembangan lain, Annuar berkata, Kada akan melatih 30 orang peserta berumur bawah 40 tahun untuk menjalani kursus menanam sayuran di dataran tinggi sebagai usaha membantu golongan berkenaan menjana pendapatan tinggi.
Katanya, setiap peserta terpilih akan menerima elaun sara diri bulanan RM1,000 serta elaun lain sepanjang menjalani latihan amali minimum enam bulan di ladang fertigasi di Lojing.
"Selepas tamat amali enam bulan, mereka akan dipertimbangkan mengusahakan plot dalam kawasan latihan Kada antara setengah hingga seekar setiap orang secara moden.
"Kita berharap dapat melaksanakan sepenuhnya menjelang awal tahun 2011, kursus kita jangka bermula pertengahan tahun ini dan berakhir akhir tahun sebab Kada memerlukan masa untuk buat ladang, apabila mereka tamat kursus pada akhir tahun maka mereka boleh jadi pengusaha sayur berkualiti tinggi.
"Permohonan boleh dikemukakan kepada Kada atau melalui mana-mana pertubuhan peladang kawasan selewat-lewatnya akhir Mac ini," katanya.

Currently have 0 ulasan: